KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pecah amanah dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC), memohon perbicaraan kes hari ini ditangguhkan kerana terdapat perkembangan baharu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihaknya telah menerima surat representasi daripada peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan bagi menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya, yang sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Representasi telah dirujuk kepada Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan arahan beliau adalah untuk saya memohon penangguhan kes sementara ia diteliti dan mendapatkan keputusan.

"Banyak perkara baharu dibangkitkan dalam representasi tersebut oleh pihak peguam Tan Sri Mohd Irwan dan kami memerlukan masa untuk mengesahkannya," kata Muhammad Saifuddin.

Beliau berkata pihaknya juga menerima sesalinan surat daripada peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memohon penangguhan kes pada hari ini.

Sementara itu, Muhammad Shafee memaklumkan pihaknya juga telah menghantar surat ke mahkamah untuk memohon penangguhan perbicaraan kes pada bulan ini dan sepanjang Mei depan selepas mengetahui terdapat perbincangan melibatkan penyelesaian yang sedang berlaku antara kerajaan Malaysia dan IPIC.

"Oleh itu, tanpa mendedahkan maklumat terperinci kerana perkara berkenaan sensitif, kami memohon perbicaraan ditangguhkan bagi membolehkan rundingan berjalan dengan lancar. Jika ada perkembangan, kes ini mungkin tidak perlu diteruskan," kata peguam itu.

Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes melibatkan bekas perdana menteri dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan itu yang turut dijadualkan berlangsung pada 4 April, 8 hingga 11 April dan sepanjang Mei tahun ini.

Tambah Muhammad Shafee, pihaknya telah menulis surat representasi untuk menggugurkan pertuduhan bagi pihak Najib dua tahun lalu, namun ia ditolak oleh AGC.

"Kami bercadang untuk menghantar surat representasi sekali lagi bagi menarik semula pertuduhan sekiranya terdapat perkembangan baharu (mengenai penyelesaian tersebut)," katanya.

Kumaraendran turut memaklumkan pihaknya juga telah menghantar representasi untuk menggugurkan pertuduhan pada Februari 2020 tetapi tidak menerima sebarang jawapan, sehubungan itu, mereka telah mengemukakan representasi baharu bulan lepas.

Hakim Muhammad Jamil membenarkan penangguhan perbicaraan kes tersebut dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes, serta bagi pihak pendakwaan untuk memaklumkan kepada mahkamah status representasi kedua-dua tertuduh.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 69, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA